GoodMorning Global

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi makanan tempatan, GoodMorning Global Group Holdings Bhd secara rasmi melancarkan daging berasaskan tumbuhan (PBM) pemakanan lengkap campuran kering yang pertama di Malaysia, baru-baru ini.

Syarikat menjangkakan pelancaran ini akan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk pilihan makanan berasaskan tumbuhan.

Produk makanan yang didatangkan dalam bentuk serbuk dan dinamakan 'WonderMeat' ini sudah pun memperoleh pencapaian ketara, seperti yang dapat dilihat daripada kemasukannya ke dalam The Malaysia Book of Records.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas GoodMorning Global Group, Datuk Dr Lim Sin Boon berkata, beliau yakin produk protein alternatif Malaysia seperti WonderMeat akan dapat berkembang dalam pasaran global dan bersaing dengan jenama yang lebih mantap, seterusnya memberi inspirasi kepada pembangunan yang selanjutnya bagi penyelesaian makanan yang mampan.

"Kami percaya bahawa teknologi makanan mempunyai potensi yang tidak terhad dan membuka jalan bagi kehidupan yang lebih sihat dan lebih lengkap.

"Wondermeat bukan sekadar produk makanan malah menjadi satu lonjakan ke arah masa depan yang mampan," katanya.

Tambah beliau, komitmen kami terhadap kesejahteraan telah membawa kepada penciptaan pengalaman kulinari yang lazat dan mampu milik yang menyediakan protein berasaskan tumbuhan dengan pemakanan yang mencukupi dan seimbang untuk keperluan harian rakyat negara ini.

Jelasnya lagi, WonderMeat adalah produk daging berasaskan tumbuhan dibangunkan untuk mengadaptasi rasa dan tekstur daging haiwan.

"Ia bukan sahaja memberi pemakan sayuran dan vegan dengan opsyen yang lebih luas dalam pilihan makanan, tetapi juga satu perubahan yang secara asasnya akan mengubah cara orang melihat daging dengan menukar industri daging kepada industri yang berasaskan tumbuhan.

"Perkembangan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada protein haiwan untuk mencapai keselamatan makanan dan matlamat iklim.

"Dengan keupayaan pengangkutan yang diperkemas, hayat simpan yang lebih lama, kos serta jejak karbon yang lebih rendah, serbuk WonderMeat mengubah industri makanan untuk menjadi lebih mampan," katanya.

Ujarnya lagi, dengan tekstur daging yang asli, kemudahan dan harga mampu milik, produk ini menandakan era baharu dalam inovasi kulinari.

"WonderMeat diperbuat daripada soya dan kacang pis serta kaya dengan serat makanan dan protein. Ia juga diperkaya dengan CaHMB dan 28 jenis vitamin dan mineral bagi memastikan pemakanan yang lengkap dalam setiap hidangan," katanya.

Penghasilan inovasi WonderMeat dicapai berikutan beberapa kejayaan awal. Pada bulan Julai, syarikat telah memperoleh dana sebanyak RM20 juta (AS$4.4 juta) daripada 1,046 pelabur dalam kempen pendanaan ramai ekuiti untuk memacu penyelidikan bioteknologi dan teknologi makanan syarikat ke peringkat yang lebih jauh lagi.

Terdahulu, pada bulan Mac, minuman pemakanan berasaskan tumbuhan GSure keluaran syarikat telah mendapat kelulusan Pusat Keselamatan dan Kualiti Makanan Kesultanan Oman.

Dilaporkan oleh: Berita Harian Online
Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2023/11/1183360/goodmorning-global-perkenal-daging-berasaskan-tumbuhan